Jika anda berkemampuan dan berkelayakan, bidang kerjaya manakah yang menjadi pilihan anda ?

Saturday, 18 April 2015

Strategi Berjaya Usahawan 4 : PERSAINGAN SIHAT


Persaingan Sihat Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. 

Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga tersebut.

Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku. Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya.

Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan. Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. 

Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik.

Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak.

Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam. 

Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan mengamalkan sikap peniaga yang baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan yang akan memberi manfaat pula kepada orang lain. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. 

Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment