Jika anda berkemampuan dan berkelayakan, bidang kerjaya manakah yang menjadi pilihan anda ?

Saturday, 18 April 2015

Strategi Berjaya Usahawan 4 : PERSAINGAN SIHAT


Persaingan Sihat Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. 

Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga tersebut.

Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku. Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya.

Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan. Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. 

Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik.

Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak.

Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam. 

Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan mengamalkan sikap peniaga yang baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan yang akan memberi manfaat pula kepada orang lain. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. 

Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti.

Strategi Berjaya Usahawan 3 : KELAINAN


Lain Daripada Yang Lain Ya, lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan.

Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih terkenal.

Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan. Contoh, kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan.

Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau.

Strategi Berjaya Usahawan 2 : MOTIVASI TINGGI


Kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan.

Motivasi yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.

Setiap peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan tepat..” Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan.

Strategi Berjaya Usahawan 1 : MENCURI


Mesti Pandai MENCURI!! Haa!! Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut.

Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling. Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang.

Bijak mengambil dan menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif. 


Agensi Yang Terlibat Membantu Usahawan

Berpandukan kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi perniagaan mereka.

Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga kecil adalah seperti 1) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), 
2) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), 
3) Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. 

Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki perniagaan sendiri.

Kelebihan Kerja Kerajaan


Dilaporkan permohonan untuk jawatan awam yang dianjurkan oleh sektor awam meningkat pada setiap tahun kerana terdapat banyak kelebihan dan faedah yang diperolehi setelah menyertai sektor awam. Di antaranya adalah: 
• Elaun Perumahan, 
• Cost Of Living Allowance (Cola), 
• Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA), 
• Kenaikkan Gaji Setiap Tahun, 
• Kemudahan Pinjaman Komputer Dan Kenderaan, 
• Cuti Tahunan Mengikut Kelayakan, 
• Cuti Bersalin, 
• Pinjaman Perumahan, 
• Caruman KWSP ataupun Pencen, 
• Bersara pada umur 58 tahun, 
• Peluang Kenaikan Pangkat, 
• Peluang Melanjutkan Pelajaran, 
• Peluang Untuk Berkursus dari masa ke semasa, 
• Bekerja dalam jangkasamasa yang sesuai bagi manusia 8 jam sehari (kadang-kadang lebih masa juga), 
• Lebih mepunyai masa bersama keluarga dan dapat mewujudkan keluarga yang lebih bahagia. 

Syarat Kelayakan Umum Memohon Jawatan Kosong Kerajaan


Antara syarat-syarat umum/asas kerja kosong kerajaan yang boleh dijadikan panduan adalah seperti berikut: 
- Berumur 18 tahun ke atas (tidak melebihi 35 tahun) 
- Mempunyai kelulusan yang sesuai dan diiktiraf oleh kerajaan (Sijil Kemahiran, Diploma, Ijazah dan sebagainya) 
- Lulus matapelajaran utama diperingkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Bahasa Malaysia, Matematik dan Bahasa Inggeris 
- Berkelakuan baik serta tidak mempunyai rekod jenayah. 
- Calon yang merokok biasanya susah untuk dipilih masuk ke jabatan kerajaan.